Sunday, April 22, 2012

Perjalanan ke arah dewasa #1

Assalamualaikum,

Semakin hari, saya merasakan semakin banyak perkara yang perlu saya fikirkan. Sementelah pemergian ayah tercinta (semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Amiin) saya rasakan perjalanan ini seperti terlalu berat walau hakikatnya jika orang lain lihat, tidaklah seperti mana sangat pun tetapi mungkin kerana saya tidak pernah menjangka perkara seperti ini akan berlaku seawal ini. Namun, siapalah saya untuk mempersoalkan segala kehendak-Nya. Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya bukan?? *senyum*

Secara jujurnya, saya merasakan seperti patah kaki semenjak ketiadaan ayah saya. Kalau saya saja sudah merasakan begitu, apatah lagi ibu saya yang telah bertahun lamanya hidup bersama beliau. Tidak dinafikan, saya terasa sedikit sunyi tanpa ketiadaan beliau. Tiada lagi insan untuk diajak bergurau senda apatah lagi membincangkan isu-isu berat seperti perkahwinan. *senyum*

Ramai yang melihat saya banyak tersenyum dan ketawa sewaktu memberitahu berita tentang pemergian beliau. Saya mengaku sebenarnya saya begitu sedih sehingga saya tidak mampu mengeluarkan air mata. Segala kesedihan saya simpan jauh di sudut hati. Saya fikir tak perlulah untuk saya menunjukkan kesedihan saya kerana apalah gunanya. Nyawa bukan milik dan hak kita. *senyum* Kadangkala, jatuh juga airmata ini kerana sedih atas pemergiannya. Ditambah lagi dengan katakata emak yang bagaikan terkesan dengan pemergiannya. Sedih, sungguh. Tak saya nafikan. Walaupun sudah hampir 5 bulan berlalu tetapi kesedihan itu masih lagi saya rasakan. Tapi saya berharap moga kesedihan ini diganti dengan kebahagiaan. kalau tak di sini, moga di sana kebahagiaan itu diberi. Acap kali juga saya katakan kepada emak, jangan dikenang orang yang sudah tiada tapi hati orang kita tak tahu. Setiap kali mendengar kata-kata rindunya, setiap kali itu juga merintih hati ini. Apa yang mampu saya katakan hanyalah bersabarlah wahai hati, kuatkan jiwamu.

Oleh itu, apabila ada yang menyentuh bertanyakan tentang perkahwinan, saya buntu. Kepada siapa harus saya tanyakan hal ini. Kepada siapa harus saya rujuk. Saya pendam, dan pendam. Saya bergantung harap kepada-Nya tetapi saya sedar bukan dengan sepenuh hati. Ada perasaan takut yang terselit jauh di lubuk hati. Saya kurang yakin dengan lamaran yang diterima. Walaupun bukanlah secara rasmi, namun saya masih tidak pernah berhenti berfikir. Walau hingga saat ini. Saya masih tercari-cari. Ada sahabat yang mengusulkan solat istikharah tetapi berat untuk saya lakukan kerana saya takut. Astaghfirullah.

Saya masih berfikir. Kepada sahabat itu, terima kasih atas nasihat awak tapi saya masih mencari kekuatan menerima semua benda ini. Terima kasih atas bantuan awak. Maaf juga kerana saya sering menyusahkan awak dengan segala persoalan. Saya memandang awak sebagaimana saya memandang ayah saya. *senyum* Kepada awak yang sudi melamar saya, saya harap awak masih sudi untuk menanti jawapan saya. Kalaulah suatu hari tiba bila awak putus asa, saya sedia menerimanya.

Semua ini hanyalah luahan hati saya. Maaf sekiranya ada sesiapa yang merasakan meluat dan jelik membacanya. Saya bukanlah orang yang mudah meluahkan isi hati saya dari bicara. Hanya menulis dan air muka sahaja yang dapat menggambarkan perasaan saya.. Maaf sekali lagi. Saya masih berusaha memperbaiki diri. Kearah jalan-Nya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment